
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W dan keluarga serta para sahabat Baginda
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Bergema syahdu Takbir Raya memuji nama Illahi, menandakan berakhirnya Ramadan yang penuh keberkatan dan tibanya 1 Syawal yang mulia, untuk kita sama-sama meraikan kemenangan memerangi jihad melawan nafsu, membersihkan fitrah dan mentarbiyyah rohani.
Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah mengingatkan kita bahawa fitrah kejadian asal manusia adalah yang suci, bersih dan tidak tercemar dengan kemungkaran, dosa serta kelalaian. Maka kejayaan kita bermujahadah di bulan Ramadan mendidik kita untuk membersihkan diri dengan menyekat godaan hawa nafsu, menahan pandangan mata daripada yang haram, telinga daripada mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang dilarang dan hati daripada sifat-sifat mazmumah.
Saudara Saudari yang saya muliakan,
Kita sedia maklum bahawa sebagai Polis Bantuan, kita adalah pasukan sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diberi kuasa-kuasa khas untuk menjaga keselamatan dan melindungi aset majikan dalam kawasan-kawasan yang ditetapkan. Tanggungjawab ini menuntut kita untuk berpegang kepada amalan amar makruf nahi mungkar dalam usaha kita menyekat kemungkaran dan menggalakkan kebaikan. Ini melibatkan tindakan penguatkuasaan yang efektif dan strategik berlandaskan bidang kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang ke atas kita.
Maka sebagai khalifah yang memikul tanggungjawab hisbah membetulkan kepincangan bagi memastikan ma’ruf ditegakkan dan mungkar dicegah, kita harus sentiasa berusaha untuk memastikan kita tidak dibelenggu hawa nafsu yang boleh mengundang gejala-gejala yang tidak baik seperti tidak amanah, khianat serta tidak bertanggungjawab.
Saudara Saudari yang dirahmati Allah SWT,
Bersempena dengan Aidilfitri 2025 ini, saya dengan penuh rasa tawaduk di hati, memohon ampun dan maaf jika ada terkhilaf kata, terkasar bahasa dan tersalah perbuatan.
Bagi yang akan kembali ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri bersama sanak saudara, berhati-hatilah dalam perjalanan. Pastikan kenderaan saudara/saudari dalam keadaan yang baik dan patuhilah undang-undang dan peraturan di jalanraya.
Bagi yang tidak berpeluang cuti kerana terikat dengan tuntutan tugas, setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada saudara/saudari atas pengorbanan ini. Sesungguhnya ia adalah manifestasi kesetiaan dan kesediaan saudara/saudari menabur jasa dan bakti dalam apa jua keadaan sekalipun. Semoga Allah memberikan sebaik-baik ganjaran di atas pengorbanan ini.
Saya iringi doa moga kita diberi kesempatan lagi untuk bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun mendatang agar kita berpeluang meraih segala kebaikan dan keberkatan yang dijanjikanNya sebagai Saiyidus Syuhur, Syahrul Maghfirah, Syahrur Rahmah dan juga Syahrun Najah.
Semoga Syawal ini membawa kita kembali kepada fitrah, disucikan jiwa serta diberi kekuatan untuk kita meneruskan perjuangan kita dalam memerangi segala bentuk kejahatan dan kemungkaran. Moga saudara/saudari sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindungan ALLAH SWT jua.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Salam dan doa,
Datin Seri Dato’ Asmawati Ahmad
31 March 2025
AJK Siaraya /Media